20 pelajar DBA UNIMAS sertai program kepimpinan dan inovasi di United Kingdom

Pelajar DBA UNIMAS dan Penyelaras Program DBA, Dr. Asmaul Husna Haris Fadzilah merakamkan kenangan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg di Ekspo Mikroelektronik UK di London. Foto TVS
 

LONDON, 24 Sept: Seramai 20 pelajar pascasiswazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kini berada di United Kingdom bagi menyertai Program Kepimpinan Strategik dan Inovasi Sarawak–UK 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 30 September ini.

Program mobiliti akademik itu bertujuan memperkukuh kemahiran pelajar dalam bidang kepimpinan, inovasi dan kelestarian, di samping menyokong agenda pengantarabangsaan UNIMAS serta matlamat Strategi Pembangunan Pasca-COVID Sarawak 2030 (PCDS) 2030.

Penyelaras Program DBA, Dr. Asmaul Husna Haris Fadzilah berkata, penyertaan itu membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan institusi pendidikan terkemuka dunia dan merasai pengalaman industri sebenar dalam kepimpinan organisasi, inovasi serta tenaga boleh diperbaharui bertaraf global.

“Pengalaman ini bukan sahaja memperluas pengetahuan mereka di luar bilik kuliah, malah mempersiapkan mereka sebagai pemimpin masa depan yang mampu memacu inovasi serta memberi impak kepada dasar,” katanya.

Sepanjang program, peserta akan mengikuti siri ceramah di London School of Economics (LSE), menyertai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama LSE, serta menjalani aktiviti bersama Majlis Bandaraya Oxford.

Mereka juga dijadual menghadiri ceramah awam di Institut Matematik, Universiti Oxford.

Selain itu, pendedahan turut diperluas menerusi lawatan industri ke Persatuan Hidrokuasa Antarabangsa (IHA) dan Ladang Angin Vantage bagi memahami lebih dekat inovasi tenaga boleh diperbaharui dan amalan kelestarian global.

Kemuncak program itu adalah penyertaan peserta dalam Ekspo Mikroelektronik UK di London, yang menyaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyampaikan ucaptama serta menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) penting antara Sarawak dan rakan strategik antarabangsa.-TVS

Download UNIMAS Now App

Image
Image