
Farhana Ismail
KUCHING: Pelaksanaan inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di peringkat Sarawak wajar dipertimbangkan bagi membantu menstabilkan perbelanjaan isi rumah khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup yang mencabar.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Farhana Ismail berkata, sokongan sedemikian penting bagi melengkapkan bantuan sedia ada.
“Dalam konteks kos sara hidup yang semakin meningkat, pelaksanaan inisiatif seperti BAP di peringkat negeri berpotensi memberi kesan penstabilan kepada perbelanjaan isi rumah.
“Bantuan ini dapat membantu ibu bapa daripada keluarga berpendapatan rendah menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.
Tambahnya, sokongan bersasar yang mengambil kira keperluan keluarga berpendapatan sederhana juga wajar dipertimbangkan memandangkan kumpulan berkenaan turut berdepan komitmen kewangan yang mencabar.
“Justeru pendekatan seimbang ini berpotensi meringankan beban keluarga serta memastikan pelajar memulakan sesi persekolahan dalam keadaan lebih bersedia dan yakin,” ujarnya ketika diminta mengulas kewajaran Kerajaan Sarawak mempertimbangkan pelaksanaan BAP seperti yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.
Sebagai rekod, Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan berjumlah RM800 juta bagi pelaksanaan BAP yang disalurkan secara sekali beri berjumlah RM150 kepada semua pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Enam bagi tahun ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, ibu bapa perlu hadir ke sekolah masing-masing untuk menerima bantuan berkenaan.
Sementara itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan agihan BAP akan bermula seawal 11 Januari ini.


